11 tahun dalam kenangan

Kusangkakan ayer mata kerinduan seorang anak pada ayah bonda hanya terpakai bila usia belum menginjak dewasa. Tapi, sangkaanku ternyata meleset, terlupa hakikat, orang tua juga ada  kaseh sayang sebagai sifat. Yang pergi tetap pergi, tetapi kenangan yang ditinggalkan pasti abadi, terpahat dalam minda nurani, sebagai perlambangan kaseh sejati, yang takkan dapat ditukar beli.

Kaseh ibu membawa ke syurga, kaseh bapa abadi selamanya. Aku takkan terus terbuai dalam esak tangis ratap derita, tapi akan kekal setia menyoroti kembali setiap inci kenangan yang ditinggalkan. Cinta kita di dunia fana tidak lama, dan sungguh itu tidak mengapa, kerana setiap saat yang pernah kita kongsikan bersama, tiada ternilai dengan  dunia dan isinya. Sungguh, sebagai anak, aku merinduimu. Senyummu penawar duka, nasehatmu penyeri dunia.

Biar kini engkau sudah tiada di sisi kami, namamu tetap harum menjadi ingatan.  Kenangan kebersamaan kita kekal terpahat indah dalam kesyahduan, terukir penuh kerinduan. Sungguh, aku sudah dewasa, tapi takkan ada tali pemutus antara kita kerana sampai bila pun, aku tetap seorang anak yang rindukan kaseh seorang bapa.Kenangan mengajar kita agar menghargai setiap pinjaman pada kita, sebelum ianya dipulangkan semula.

Jarang sekali dia bermasam muka, apatah lagi meninggikan suara. Setiap tutur bicaranya lembut penuh hikmah, jaoh sekali bersulam amarah. Bukan sedikit beban yang digalas, sebagai seorang anak, seorang suami, seorang bapa, namun, semuanya dibalas dengan sempurna tiada yang cuai. Kadang-kala, muncul juga cemburu di jiwa, mengenangkan betapa dia mampu melunaskan segala tanggungjawab, walau masa agak terhad.

Sungguh, banyak lagi cerita hidup yang aku ingin kita kongsikan dan aku percaya, engkau juga sama, namun, takdir DIA mengatasi segalanya. Kini, dunia memisahkan kita, walau jasadmu telah lama pergi meninggalkan kita, tapi cinta kenangan silam yang pernah kita bina pasti akan hidup selamanya, selagi kita mahu mengingatinya. Dan percayalah, aku sebagai anak, takkan sesekali lupa, akan segala jasa,budi dan kaseh sayang yang pernah engkau curahkan.

Sungguh, sebagai anak, banyak sifatmu yang aku warisi, dan pastinya bencikan ubat antara yang paling terserlah. Mengenang kembali segalanya, membuatkan aku tersenyum sendiri. Bagai semalam baru cerita kita kongsikan, rupanya sudah lebih sedekad engkau meninggalkan kami. Rasanya, aku tidak sendiri, merindui engkau yang telah pergi.

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."(17:24)

p/s : al-fatehah utk allahyarham ayahanda Muni bin Abdullah sempena ulang tahun ke 11 beliau menyahut seruan ILAHi..moga aman sejahtera di sana..

sekian..


0 comments:

my playlist

visitors

chatting zone

Followers